Renungan & Kehidupan

Usaha Dan Tawakkal Atau Tawakkal Tanpa Usaha?

Usaha Dan Tawakkal Atau Tawakkal Tanpa Usaha?

Pagi tadi, selepas hantar anak saya ke sekolah, semasa berhenti di lampu isyarat, lalu sebuah motorsikal di hadapan saya di mana seorang bapa menghantar anak perempuannya ke sekolah. Si bapa memakai topi keledar manakala anaknya tidak memakai topi keledar.

Sebenarnya, ini adalah pemandangan setiap pagi yang saya lihat setiap kali menghantar anak saya ke sekolah. Terlalu ramai sebenarnya bapa dan ada juga segelintir ibu yang menghantar anak mereka ke sekolah dengan menaiki motorsikal di mana anak mereka tidak memakai topi keledar.

Saya sering juga tertanya-tanya apakah sebab anak-anak mereka ini tidak pakai topi keledar? Adakah akan merosakkan tudung (bagi anak perempuan) atau merosakkan jambul mereka (bagi anak lelaki)? Atau adakah disebabkan di rumah hanya ada satu topi keledar sahaja?

Apapun alasan mereka, bagi saya apabila ia berkait dengan soal keselamatan, kita sepatutnya tidak berkompromi.

Pagi tadi saya terfikir adakah mereka ini keluar rumah dan mengharapkan tidak berlaku musibah ke atas mereka? Dan adakah sebab itu juga mereka membiarkan anak-anak mereka membonceng motorsikal ke sekolah tanpa memakai topi keledar? Saya fikir, tinggi betul tahap tawakkal mereka ini.

Kemudian saya teringat pesan seorang ustaz yang menyampaikan kuliah di surau. Kata ustaz tersebut, sebelum bertawakkal, kita kena berusaha terlebih dahulu. Teringat juga cerita seorang ustaz yang lain tentang kisah isra’ dan mi’raj di mana ketika Rasulullah s.a.w tiba di Masjidil Aqsa, Baginda telah mengikat buraq yang ditunggangi Baginda sebelum Baginda bersembahyang. Boleh sahaja Baginda meninggalkan buraq tanpa diikat kerana pastinya burqa itu tidak akan lari. Ini maksud tawakkal yang ditunjukkan oleh baginda kepada kita. Kita perlu berusaha terlebih dahulu sebelum meletakkan tawakkal kepada Allah s.w.t.

Jadi, dalam konteks ini, pemakaian topi keledar apabila berada di jalan besar adalah wajib atas faktor keselamatan dan bukannya atas faktor takut kena saman. Selepas memakai topi keledar, maka barulah kita bertawakkal kepada Allah mengharapkan kita tidak ditimpa musibah.

Di dalam takaful, sememangnya ada prospek-prospek yang menolak cadangan saya untuk mereka ambil pelan takaful dengan memberikan alasan, Allah ada. Memang benar Allah ada, tidak dinafikan langsung tetapi adakah dengan mengatakan Allah ada bermakna kita tidak perlu berusaha?

Mengambil pelan perlindungan takaful adalah satu usaha kita untuk menghadapi sesuatu musibah, sekiranya ia berlaku.

Sebagai contoh, Azman (bukan nama sebenar) mengambil pelan medical card dan ditakdirkan Azman menghidap kanser dengan kos rawatan mencecah RM500,000, maka kos rawatan Azman akan dibayar menggunakan medical card beliau.

Alwi (bukan nama sebenar) pula, tidak mahu mengambil pelan medical card kerana katanya, Allah ada. Ditakdirkan Alwi juga menghidap kanser dengan kos rawatan RM500,000, berkemungkinan besar Alwi terpaksa untuk meminta bantuan daripada ahli keluarga, saudara mara dan orang ramai kerana ketiadaan dana untuk membayar kos rawatan.

Begitu juga dengan hibah, Azman turut mengambil pelan hibah sebanyak RM1juta dan ditakdirkan Azman meninggal dunia akibat sakit kanser, maka isteri dan anak-anaknya insyaAllah dapat meneruskan kehidupan dalam keadaan yang selesa kerana menerima wang hibah takaful sebanyak RM1juta tersebut.

Keluarga Alwi pula, berkemungkinan besar akan hidup dalam keadaan yang kurang selesa kerana terputus sumber pendapatan utama keluarga apabila Alwi meninggal dunia akibat sakit kanser yang dihidapinya.

Azman mengambil pelan takaful bukan kerana dia tidak yakin yang Allah ada, tetapi kerana dia faham tentang konsep tawakkal iaitu berusaha sebelum menyerahkan diri kepada Allah sepenuhnya.

Berbalik kepada kisah ibubapa yang membiarkan anak-anak mereka membonceng motorsikal ke sekolah tanpa memakai topi keledar, selain ia membahayakan nyawa anak-anak mereka, mereka ini sebenarnya sedang memberikan satu contoh yang tidak baik kepada anak-anak mereka. Anak-anak melihat dan akan mengikut apa yang ibubapa mereka lakukan. Maka kitaran ini akan berterusan apabila anak-anak ini sudah berkahwin dan mereka akan melakukan perkara yang sama kepada anak-anak mereka pula.

Kita perlu hentikan kitaran ini.

Buat yang betul.

Buat betul-betul.

Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.

Usaha dulu, baru tawakkal.

Buat dulu, baru kata Allah ada.

Nota ini sebagai peringatan buat diri saya sendiri.

Perunding Takaful

Perlukan Perlindungan Untuk Anda & Keluarga?

Rozaimi Bin Mohd Said

Dapatkan konsultasi dan Free Quotation untuk Medical Card dan Hibah Takaful yang sesuai dengan keperluan anda dan keluarga.

Dapatkan Free Quotation →
Scroll to Top