“Kalau aku meninggal nanti, insyaAllah cukup duit yang aku tinggalkan untuk anak isteri aku nanti”, kata Abu kepada Ali.
Fuh! Yakin betul si Abu.
Betul ke, harta yang ditinggalkan oleh si mati itu boleh terus difaraidkan selepas kematiannya?
Mari saya terangkan secara ringkas susunatur dan kedudukan faraid dalam pengurusan harta pusaka.
Sebaik sahaja seseorang itu menghembuskan nafas yang terakhir, segala harta yang masih menjadi miliknya sebelum dia meninggal dunia secara automatiknya menjadi harta pusaka si mati itu.
Sesetengah orang menyangkakan, harta pusaka itu boleh terus dibahagikan secara faraid selepas berlaku kematian.
Jawapannya: tidak semestinya
Hakikatnya, ada beberapa perkara lain yang perlu didahulukan sebelum pembahagian harta pusaka si mati boleh dibahagikan kepada ahli waris secara faraid.
Pertama sekali, ahli waris perlu menyelesaikan urusan pengebumian terlebih dahulu dan ini termasuklah membayar kos-kos berkaitan dengan urusan pengebumian tadi.
Yang kedua, mereka perlu menguruskan pembayaran hutang-hutang simati. Ini termasuklah hutang dengan orang perseorangan dan hutang-hutang dengan mana-mana pihak seperti pihak bank, MARA, PTPTN dan sebagainya.
Yang ketiga, jika ada wasiat yang ditinggalkan oleh simati, ia hendaklah diselesaikan terlebih dahulu.
Selain daripada itu, jika terdapat tuntutan harta sepencarian oleh pasangan, perkara tersebut perlu diselesaikan bagi menentukan bahagian yang menjadi hak pasangan dan bahagian yang benar-benar merupakan harta pusaka si mati.
Setelah selesai kesemua yang di atas, barulah pembahagian baki harta pusaka (sekiranya ada) boleh dibuat secara faraid.
Kenapa saya kata “sekiranya ada”?
Bayangkan situasi di mana hutang si mati lebih besar daripada harta yang ditinggalkan. Maka, yang berbaki bukannya harta yang boleh dibahagikan secara faraid, tetapi hutang yang masih ada yang perlu dilangsaikan.
Jadi, pembahagian harta pusaka simati melalui faraid tidak boleh dilakukan sehinggalah perkara-perkara yang mendahuluinya seperti yang disebutkan di atas telah diselesaikan terlebih dahulu dan hanya jika ada baki daripada harta pusaka itu tadi, barulah ia boleh dibahagikan secara faraid.
*****************************
Artikel ini ditulis oleh ROZAIMI MOHD SAID. Beliau boleh dihubungi di 012-678 3581.
