Adik-beradik Masih Boleh “Mewarisi” Harta Kita Walaupun Masih Ada Ayah dan Anak Lelaki? – Bahagian 1

“Aku ada anak lelaki, mak ayah aku pun masih hidup. Kalau aku meninggal dunia pun, adik beradik aku tak de hak faraid”, kata Arman kepada Zahid sambil menghembuskan asap vapenya.

Yakin betul Arman. Kat mana la dia beli confident dia ni ya?

Sebenarnya, adik beradik masih boleh dapat harta kita walaupun semasa kita meninggal dunia, kita ada anak lelaki dan masih ada mak ayah.

Nak tahu macamana perkara ni boleh berlaku? Teruskan membaca.

Memang betul, dalam hukum faraid, bapa atau anak lelaki boleh menyebabkan adik-beradik si mati terhalang daripada menerima harta pusaka si mati secara faraid.

Tetapi ada keadaan di mana harta yang ditinggalkan itu, akhirnya akan dapat juga kepada adik beradik si mati.

Saya terangkan melalui satu contoh supaya anda boleh terus faham situasi ini.

Sewaktu Arman meninggal dunia, Arman masih mempunyai ibu dan ayah, seorang anak perempuan, seorang anak lelaki.

Arman juga mempunyai 5 orang adik beradik yang masih hidup di mana 3 orang abangnya sudah berkahwin manakala 2 orang adik perempuannya belum berkahwin.

Waris yang berhak mewarisi harta pusaka Arman, setelah selesai perkara-perkara yang wajib diselesaikan adalah: –

  1. Ayah Arman
  2. Ibu Arman
  3. Isteri Arman
  4. Anak Lelaki Arman
  5. Anak Perempuan Arman

Untuk memudahkan pemahaman, andaikan Arman hanya meninggalkan sebuah rumah yang merupakan miliknya 100% ketika beliau meninggal dunia, maka, berikut adalah hak setiap waris yang mewarisi rumah tersebut: –

NO. WARIS ARMAN BAHAGIAN
1 Ayah 12/72 (1/6)
2 Ibu 12/72 (1/6)
3 Isteri 9/72 (1/8)
4 Anak Lelaki 26/72
5 Anak Perempuan 13/72

Diperingkat ini, kita nampak semuanya masih ok, mungkin tiada masalah. Semua orang masih hidup aman damai. Walaupun nama ibu dan ayah Arman dengan bahagian masing-masing tercatat 1/6 bahagian setiap seorang di dalam geran rumah Arman, mereka masih tinggal di rumah mereka dan bukannya di rumah Arman. Maknanya, pemilikan mereka hanya di atas kertas sahaja.

Sekarang, andaikan pula ayah Arman meninggal dunia selepas itu. Maka waris-waris yang layak untuk mewarisi harta pusaka ayahnya termasuklah 1/6 bahagian ayahnya ke atas rumahnya tadi adalah ibu Arman dan 5 orang adik beradiknya.

Pada peringkat ini, nama 5 orang adik beradik Arman tadi akan tercatat di dalam geran rumahnya. Berapakah pecahan pemilikan setiap orang ke atas rumah Arman sekarang? Mari saya tunjukkan: –

Pecahan Pemilikan ke Atas Rumah Arman Selepas Kematian Ayahnya

NO. WARIS ARMAN BAHAGIAN WARIS AYAH ARMAN BAHAGIAN
1 Isteri 9/72 (1/8)    
2 Anak Lelaki 26/72    
3 Anak Perempuan 13/72    
4 Ibu 12/72 (1/6) Isteri 8/64 (1/8)
5     3 Anak lelaki 42/64
6     2 Anak Perempuan 14/64

Secara ringkasnya, rumah Arman kini dimiliki secara bersama oleh 9 orang termasuklah 3 orang abangnya dan 2 orang adik perempuannya.

Andaikan pula selepas itu salah seorang abangnya pula meninggal dunia. Maka isteri dan anak-anak kepada abangnya juga mempunyai hak faraid ke atas rumah Arman tadi untuk bahagian abangnya yang meninggal dunia tadi.

Fuh! Cukup merumitkan bukan? Ini baru secara teori, hakikatnya, apabila ia berlaku, keadaan memang akan menjadi jauh lebih rumit daripada apa yang anda baca ini terutamanya apabila mula berlaku pertikaian dan rasa tidak puas hati.

Sekiranya isteri Arman ingin menjual rumah tersebut pada harga RM500,000, maka berapakah duit hasil jualan itu yang menjadi milik isterinya?

Isteri Arman hanya berhak kepada RM62,500 sahaja.

Baki hasil jualan rumah Arman sebanyak RM437,500 akan pergi kepada: –

  1. Anak Lelaki Arman – RM180,555
  2. Anak Perempuan Arman – RM90,278
  3. Ibu Arman – RM93,750
  4. 3 Orang Abang Arman – RM54,687
  5. 2 Orang Adik Perempuan Arman – RM18,229

Maka, walaupun anda masih ada ayah dan anak lelaki, harta anda masih boleh dimiliki oleh adik beradik anda melalui perwarisan harta selepas kematian ibu atau ayah anda.

Berbalik kepada kisah Arman, seperti suami-suami yang lain, Arman pastinya ingin rumah yang dibelinya dapat terus dihuni oleh isteri dan anak-anaknya selepas kematiannya tanpa sebarang masalah.

Begitu juga dengan harapan pada isteri.

Jadi, adakah cara untuk meleraikan kekusutan ini?

Jawapannya ialah YA, ada cara untuk meleraikan kekusutan ini. Saya akan tulis mengenainya dalam artikel yang seterusnya, insyaAllah.

******************************

Artikel ini disediakan oleh ROZAIMI MOHD SAID. Beliau boleh dihubungi di 012-678 3581

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top