"Yang, abang dah buat wasiat. Rumah, duit abang dalam EPF, Tabung Haji, ASB, saham-saham abang, tanah kat kampung, semua tu abang dah wasiatkan untuk sayang. InsyaAllah, jadi apa-apa kat abang nanti, awak tak susah", kata Arman kepada isterinya Zarina.
"Ish! Abang ni. Saya lebih rela ada abang tanpa semua tu daripada dapat semua tu tanpa abang", getus Zarina manja.
Jom kita bincangkan, apa status wasiat yang dibuat oleh Arman tadi, adakah isterinya, Zarina akan dapat atau boleh mewarisi semua harta-harta Arman itu nanti?
Pertama sekali, kita kena faham apa itu wasiat. Wasiat dari sudut bahasa ialah pesanan manakala dari sudut syarak pula, ia bermaksud pemberian atau pesanan yang dibuat oleh seseorang semasa hidup untuk dilaksanakan selepas kematiannya.
Jadi, jika seorang ayah memberi pesanan kepada anak sulungnya untuk menjaga ibu dan adik-adiknya selepas dia meninggal dunia nanti, maka itu adalah wasiat si ayah kepada anak sulungnya itu.
Adapun, yang akan kita akan bincang di sini ialah wasiat dalam bentuk harta.
Bolehkah seorang suami mewasiatkan semua hartanya kepada isterinya kerana dia tahu yang isterinya yang akan mengambil alih sepenuhnya tugas dan tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak mereka?
Saya bahagikan topik perbincangan kita ini kepada 2 bahagian: -
Wasiat Kepada Bukan Waris
Hukum syara' menetapkan wasiat kepada bukan waris adalah tidak boleh melebihi 1/3 daripada harta pembuat wasiat.
Bukan waris merujuk kepada mereka yang bukan waris faraid.
Sebagai contoh, Arman mempunyai wang berjumlah RM300,000 dan dia hendak memberikan sejumlah wang untuk sepupunya yang banyak membantu menguruskan ibu bapanya di kampung kerana Arman tinggal di bandar. Arman boleh membuat wasiat sehingga 1/3 atau RM100,000 untuk diberikan kepada sepupunya itu selepas kematiannya nanti.
Kenapa kita kena buat wasiat untuk bukan waris?
Ia kerana, mereka yang bukan waris tidak ada hak untuk mewarisi harta seseorang itu kerana mereka tiada hak dalam faraid.
Sebagai contoh, anak angkat bukan waris faraid. Maka jika ibu dan ayah angkatnya meninggal dunia tanpa wasiat atau hibah, anak angkat itu tidak berhak untuk mewarisi walau sesen pun daripada harta pusaka ibu dan ayah angkatnya tadi.
Wasiat Kepada Waris
Dalam sepotong hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Secara asasnya, hak seorang waris itu telah diperuntukkan melalui kaedah faraid. Sebab itu dikatakan tidak ada wasiat kepada waris.
Walaubagaimanapun, ia bukan berupa larangan secara mutlak.
Seseorang itu, boleh memberikan wasiat dalam bentuk pesanan kepada ahli warisnya tentang bagaimana harta-hartanya akan dibahagi-bahagikan selepas kematiannya, cuma pelaksanaannya nanti adalah tertakluk kepada persetujuan semua ahli waris.
Andaikan semasa membuat pesanan seperti di awal tadi kepada isterinya, Arman juga masih mempunyai ibu dan ayah serta 2 orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Selepas kematian Arman, semua harta-hartanya yang disebutkan di awal tadi secara automatiknya menjadi harta pusaka Arman dan waris-waris yang berhak untuk mewarisi harta pusaka Arman adalah: -
| No. | Waris Arman |
| 1. | Ayah Arman |
| 2. | Ibu Arman |
| 3. | Isteri Arman |
| 4. | Anak Lelaki 1 Arman |
| 5. | Anak Lelaki 2 Arman |
| 6. | Anak Perempuan Arman |
Hak waris-waris ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun. Mereka berhak kepada rumah Arman, wang simpanan Arman di KWSP, Tabung Haji, ASB, saham-saham Arman dan juga tanahnya di kampung.
Jadi, bolehkah dilaksanakan wasiat atau pesanan Arman yang mahukan isterinya memiliki keseluruhan harta-hartanya selepas dia meninggal dunia?
Ia boleh dilaksanakan hanya dengan persetujuan waris-waris yang berhak seperti yang dinyatakan tadi. Sekiranya ada di kalangan waris-waris yang tidak bersetuju dan mahukan hak mereka melalui faraid, maka hak waris tersebut perlu diberi dan tidak boleh dinafikan.
Baki harta pusaka yang setelah ditolak hak faraid waris yang tidak bersetuju, boleh diberikan kepada isterinya seperti yang diinginkan oleh Arman.
Apa jadi jika semua waris tidak bersetuju dengan pesanan ataupun wasiat Arman?
Pembahagian perlu dilakukan secara faraid. Maka isterinya akan mewarisi 1/8 daripada harta yang ditinggalkan oleh Arman.
Sebab itu, agak berisiko apabila seseorang itu membuat wasiat untuk memberikan hartanya kepada waris-waris tertentu, melebihi hak mereka menurut hukum faraid kerana pelaksanaannya nanti adalah tertakluk kepada persetujuan waris-waris yang lain.
Maka, alternatif terbaik yang ada di dalam sistem kewangan Islam di Malaysia pada hari ini adalah dengan menyediakan hibah takaful.
Hibah takaful dilindungi oleh Jadual ke-10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 di mana dinyatakan secara jelas di dalammya yang manfaat kematian (hibah takaful) bukan sebahagian daripada harta pusaka si mati dan menjadi hak milik mutlak penerima hibah yang dinamakan.

**************************
Artikel ini ditulis oleh ROZAIMI MOHD SAID. Beliau boleh dihubungi di 012-678 3581.
