Perwarisan Harta. Apa Alternatif Untuk Anak Angkat?

Anak angkat dilayan, diasuh, dibesarkan dan dijaga sama seperti anak sendiri. Malahan ada sesetengah kes, anak angkat itu menjaga ibu dan ayah angkat mereka lebih baik daripada adik beradik angkat (anak kandung kepada ibu dan ayah angkat) sendiri.

Tetapi apabila bercakap tentang hak faraid, anak angkat terkecuali kerana tiada perhubungan darah dengan ibu dan ayah angkat mereka.

Bayangkan situasi ini – sepasang suami isteri tidak mempunyai anak kandung dan mereka mengambil anak angkat. Anak angkat itu dipelihara dengan baik sejak selepas kelahirannya sehinggalah dia sudah dewasa.

Apabila kedua-dua mereka meninggal dunia, anak angkat tersebut sebenarnya bukan waris faraid. Oleh itu, dia tidak berhak untuk mewarisi harta ibu dan ayah angkatnya melalui faraid.

Selain melalui faraid, seseorang boleh membuat hibah atau wasiat untuk memberikan sebahagian hartanya kepada pihak yang bukan waris faraid, termasuklah anak angkat.

Wasiat

Wasiat ialah satu bentuk pemberian harta yang dibuat oleh seseorang semasa hidup, tetapi hanya berkuat kuasa selepas pembuat wasiat meninggal dunia.

Bagi wasiat yang diberikan kepada bukan waris faraid termasuk anak angkat, jumlah yang boleh diwasiatkan adalah sehingga 1/3 daripada nilai harta.

Sekiranya jumlah yang diwasiatkan melebihi 1/3, lebihan tersebut hanya boleh diberikan kepada penerima wasiat dengan persetujuan waris faraid selepas kematian pembuat wasiat.

Hibah

Hibah pula ialah pemberian harta yang dibuat oleh seseorang kepada orang lain semasa pemberi hibah masih hidup.

Berbeza dengan wasiat, hibah berkuat kuasa semasa pemberi masih hidup, tertakluk kepada rukun dan syarat hibah yang ditetapkan. Oleh itu, harta yang telah dihibahkan dengan sempurna tidak lagi menjadi sebahagian daripada harta pusaka pemberi selepas kematiannya.

Hibah juga boleh diberikan kepada waris mahupun bukan waris, termasuklah anak angkat, tertakluk kepada syarat dan struktur hibah yang digunakan.

Hibah Takaful

Hibah takaful ialah pemberian manfaat kematian daripada sijil takaful oleh peserta takaful sebagai pemberi hibah kepada seseorang yang dinamakan sebagai penerima hibah.

Hibah takaful merupakan hibah bersyarat yang dikawal selia di bawah Jadual 10, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Pemberian ini dibuat melalui penamaan semasa peserta masih hidup, tetapi manfaat takaful hanya akan dibayar kepada penerima hibah selepas peserta meninggal dunia, tertakluk kepada terma dan syarat sijil takaful.

Manfaat yang diterima oleh penerima hibah adalah dalam bentuk wang tunai, iaitu manfaat kematian yang dibayar oleh pengendali takaful.

Sejak lebih daripada 10 tahun yang lepas, hibah takaful semakin popular di kalangan umat Islam di Malaysia dalam menyediakan dana segera untuk ahli keluarga meneruskan kehidupan selepas kematian seseorang itu.

Dalam konteks anak angkat, anak angkat tidak akan mewarisi melalui faraid segala wang simpanan, pelaburan, emas dan harta pusaka ibu dan ayah angkat mereka melalui faraid.

Maka, tidak hairanlah ada dalam kalangan ibu dan ayah angkat yang membuat hibah takaful dengan menamakan anak angkat mereka sebagai penerima hibah takaful.

Jika anda inginkan maklumat lanjut berkenaan pelan hibah takaful, sila berhubung dengan salah seorang Perunding Takaful Kami.

************************************

Artikel ini ditulis oleh ROZAIMI MOHD SAID. Beliau boleh dihubungi di 012-678 3581.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top