RM90 Bilion Harta Pusaka Dibekukan. Kenali Punca dan Penyelesaiannya

Semasa Persidangan Parlimen dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen ke15 bagi tahun 2026, Menteri Kewangan menerangkan angka 90 bilion itu, secara amnya merujuk kepada harta pusaka si mati yang masih dibekukan di bank, institusi kewangan lain atau Pejabat Tanah kerana proses perundangan dan pentadbiran belum diselesaikan, termasuk ketiadaan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet atau apabila pentadbir pusaka belum dilantik secara sah (rujuk soalan ke-39).

Ia juga merujuk kepada harta-harta yang tidak dapat untuk diselesaikan dan hal ini terjadi, antaranya disebabkan oleh pertikaian perwarisan antara waris, ketiadaan waris yang sanggup untuk menguruskan pembahagian harta pusaka, ketiadaan wang untuk menguruskan harta pusaka, proses menguruskan harta pusaka yang renyah, kelewatan menguruskan harta pusaka dan banyak lagi.

Pendek kata, apabila harta pusaka tidak diuruskan dengan baik, maka ia tidak dapat dibahagi-bahagikan kepada waris-waris yang layak dalam waktu yang sepatutnya dan seterusnya harta-harta itu terpaksa dibekukan dan tidak dapat memberikan manfaat yang sepatutnya kepada waris-waris.

Kadang-kadang kita dengar orang kata, “pandai-pandailah nanti diorang (waris-waris) bahagi-bahagikan harta aku ni“.

Ya, bercakap memang senang tetapi hakikatnya, menguruskan harta pusaka, terutamanya jika si mati tidak membuat perancangan harta semasa hidupnya, tidak semudah abc.

Ramai yang menyangkakan faraid boleh menyelesaikan segala-galanya. Memang benar faraid adalah antara jalan penyelesaiannya tetapi apabila melibatkan manusia (waris-waris), perkara yang mudah boleh jadi rumit. Jika tidak, masakan berlaku pertikaian di kalangan ahli waris tentang pembahagian harta pusaka sii mati sehingga membawa kes ke Mahkamah.

images-17

Kita juga masih masih ingat pertikaian di antara isteri seorang pelawak terkenal dan keluarga mertuanya. Ada banyak lagi kes-kes yang sepatutnya kita jadikan pengajaran agar perkara yang sama tidak berlaku dalam keluarga kita.

1. Pertikaian Antara Waris

Al-Quran telah menetapkan bahagian bagi setiap ahli waris yang layak untuk mewarisi harta pusaka seseorang yang telah meninggal dunia. Namun, hakikatnya, apabila ia melibatkan manusia, ia juga melibatkan soal hati dan perasaan.

Maka, pertikaian boleh berlaku diakibatkan oleh ketidakfahaman ahli waris tentang pengurusan dan pembahagian harta pusaka serta perasaan tamak di kalangan mereka. Almaklumlah, dapat harta secara percuma.

Maka, apabila berlaku pertikaian, ia akan melambatkan proses pengurusan dan pembahagian harta pusaka si mati dan ia akan menambahkan kerumitan sekiranya ada ahli waris yang meninggal dunia sebelum selesai pembahagian harta pusaka si mati. Ini dipanggil faraid berlapis.

Selain itu, pertikaian juga boleh menyebabkan tiada jalan penyelesaian dicapai, maka harta pusaka si mati dibekukan kerana tidak dapat dibahagi-bahagikan sesama waris.

2. Ketiadaan Wasi

Wasi ialah orang yang akan menguruskan harta pusaka seseorang yang telah meninggal dunia. Sebenarnya, pertikaian boleh berlaku pada peringkat pelantikan Wasi, sebelum harta tersebut hendak diuruskan lagi.

Apabila ada 2 pihak yang berbalah, pihak di sini tidak akan bersetuju dengan calon wasi yang dikemukakan oleh pihak di sana dan sebaliknya.

Maka, apabila tidak ada Wasi yang dapat dilantik, harta tersebut tidak dapat diuruskan, maka ia berpotensi untuk menjadi sebahagian harta yang dibekukan.

Terdapat juga kes di mana, tidak ada pertikaian di kalangan ahli waris, tetapi tidak ada seorang pun di antara mereka yang ingin menjadi Wasi untuk menguruskan dan membahagikan harta pusaka si mati. Antara puncanya ialah faktor masa dan wang.

3. Ketiadaan Wang Untuk Menguruskan Harta Pusaka

Pengurusan harta pusaka bukan sesuatu yang mudah. Maka, cara terbaik adalah dengan melantik Peguam atau Amanh Raya Berhad untuk menguruskannya dan ia bukan percuma.

Yuran yang dikenakan untuk menguruskan harta pusaka si mati boleh mencecah sehingga 5% daripada nilaian keseluruhan harta si mati, namun kadar ini bukanlah mutlak dan berbeza mengikut saluran yang digunakan serta yuran yang ditetapkan oleh pihak yang menguruskan

Sebagai contoh, jika harta yang ditinggalkan bernilai RM1juta dan jika yuran yang dikenakan oleh pihak yang menguruskan adalah 5%, maka, yuran yang perlu dibayar oleh ahli waris adalah sebanyak RM50,000.

Jika sebahagian besar harta yang ditinggalkan terdiri daripada wang tunai atau simpanan yang boleh diakses untuk tujuan pentadbiran pusaka, urusan pembayaran mungkin lebih mudah.

Namun, bagaimana pula jika sebahagian besar harta pusaka tersebut terdiri daripada aset tidak cair seperti tanah dan rumah? Dari manakah waris perlu mendapatkan wang untuk menampung kos pengurusan pusaka tersebut?

4. Proses Pengurusan Harta Yang Renyah

Jika tiada pertikaian di kalangan ahli waris, proses boleh menjadi mudah. Namun, jika ada yang tidak bersetuju, maka proses yang mudah akan menjadi sangat renyah. Mesyuarat demi mesyuarat perlu diadakan untuk mencapai kata sepakat di kalangan ahli waris. Untuk memanggil satu mesyuarat pun, bukanlah mudah kerana perlu mendapatkan masa dan lokasi yang sesuai daripada semua ahli waris dan apabila ada pertikaian, kata putus tidak akan dapat dicapai hanya melalui saru mesyuarat sahaja.

Selepas itu, ia akan melibatkan urusan turun naik Mahkamah yang boleh mengambil masa bertahun-tahun. Akhirnya, ia akan terhenti di tengah jalan.

5. Kelewatan Menguruskan Harta Pusaka

Apabila berlaku kematian, maka perlu disegerakan pengurusan dan pembahagian harta pusaka si mati. Namun, ada di kalangan masyarakat kita yang memandang seroang jika ada ahli waris yang mintak disegerakan urusan harta pusaka si mati. Waris tersebut boleh dichop sebagai gila harta.

Kadang-kadang kita dengar orang cakap, “tanah kubur masih merah, anak-anak dah bercakap pasal harta pusaka“

Disebabkan stigma seperti ini yang boleh menyebabkan kelewatan urusan menguruskan harta pusaka si mati. Kelewatan boleh menjadikan sesuatu urusan itu lebih rumit terutamanya apabila ada di kalangan ahli waris lapisan pertama, meninggal dunia terlebiuh dahulu sebelum selesain urusan pembahagian harta pusaka si mati tadi. Ini kerana terdapat waris dari lapisan kedua yang turut berhak ke atas harta pusaka si mati yang pertama tadi.

Ia bermakna, bilangan waris semakin bertambah dan semakin ramai waris yang berhak, maka ia boleh menjadi lebih rumit

*********************************

Diakhirnya, harta pusaka si mati tidak dapat diuruskan dengan baik, maka ia mungkin akan terbiar begitu sahaja dan menjadi sebahagian daripada statistik harta pusaka yang dibekukan yang kini dianggarkan bernilai RM90 bilion.

Perancangan Harta

Cara terbaik bagi memastikan pengurusan dan pembahagian harta pusaka berjalan dengan mudah adalah dengan melakukan perancangan harta semasa kita hidup. Kita telah membincangkan masalah-masalah yang memungkinkan kesukaran menguruskan harta pusaka seseorang itu, maka mari kita bincangkan pula jalan penyelesaiannya.

  1. Buat Wasiat dan Hibah – Sebagai orang Islam, kita boleh mewasiatkan harta kita untuk diberikan kepada bukan waris seperti anak angkat sehingga 1/3 daripada nilaian harta pusaka. Kita juga boleh meninggalkan wasiat (pesanan) tentang bagaimana harta kita perlu dibahagikan di kalangan ahli waris selepas kita meninggal dunia, tetapi pelaksanaannya adalah tertakluk kepada persetujuan semua ahli waris. Selain wasiat, kita juga boleh menghibahkan harta kita kepada waris-waris tertentu, contohnya kita hibahkan rumah kita kepada isteri kita. Harta yang telah dihibahkan tidak menjadi harta pusaka si mati.
  2. Lantik Wasi – Pelantikan wasi melalui dokumen wasiat dapat membantu menentukan pihak yang akan menguruskan pentadbiran harta pusaka selepas kematian. Langkah ini boleh mengurangkan ketidakpastian dan memudahkan urusan awal keluarga. Walau bagaimanapun, pelantikan wasi hendaklah dibuat dengan betul dan tertakluk kepada kehendak undang-undang yang berkaitan.
  3. Sediakan Dana Pengurusan Pusaka – Ada pelbagai cara untuk menyediakan dana ini dan antara yang terbaik adalah melalui instrumen takaful. Ramai orang sudah mula menggunakan instrumen takaful untuk menyediakan dana bagi ahli waris menguruskan harta pusaka mereka selepas kematian mereka nanti dan hal ini memang sangat melegakan dan memudahkan ahli waris dalam menguruskan dan membahagi harta pusaka.

Saya menyeru kepada pembaca sekelian untuk tidak memandang mudah isu berkaitan dengan perancangan harta. Dapatkan khidmat rundingan daripada mereka yang bertauliah. Di AREMES Advisory, anda boleh menghubungi mana-mana Perunding kami untuk mendapatkan khidmat nasihat secara PERCUMA.

*******************************

Artikel ini ditulis oleh ROZAIMI MOHD SAID. Beliau boleh dihubungi di 012-678 3581

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top